Oleh Amira Suraini Che Mohamad
KANGAR: Dua beradik dari Kampung Nesam di Kangar, Perlis sanggup melepaskan profesion berpendapatan lumayan hanya untuk mengusahakan kebun seluas satu ekar milik keluarga.
Berpegang pada prinsip ‘Back to Nature’, mereka menggunakan arang yang dicampurkan dengan tinja haiwan sebagai baja organik tumbuhan sebagai alternatif ke arah melestarikan pertanian.
Ismail Mahamad Hakimi, 39, dan adiknya, Sakiinah, 36, menggunakan sisa tumbuhan seperti ranting kayu, sekam, kayu terpakai, buluh serta sisa tulang yang dibakar menjadi arang organik atau disebut biochar.
Arang itu kemudian dihancurkan dan diletak di dalam reban ayam dan kambing untuk tempoh tertentu sebelum dicampurkan dengan tinja haiwan untuk penghasilan baja.
Amalan itu dipraktikkan mereka sejak dua tahun lalu, namun menurut sejarah, cara itu telah juga digunakan oleh orang Amazon Kuno dalam amalan pertanian mereka.
Menurut dua beradik ini yang juga pemegang ijazah sarjana, arang organik ini boleh digunakan secara konsisten untuk kelestarian pertanian sehingga 10 ribu tahun.
“Tempat pembakaran, kita akan letakkan kayu. Biasanya kayu-kayu yang kita ambil dari pokok di sini atau kayu terbuang dan juga kita boleh gunakan buluh ataupun tulang yang mana kita guna kayu yang kering bila dah kering bakarkan dengan keadaan yang kurang oksigen… proses ini dinamakan pirolisis. Apabila pembakaran kurang oksigen membakar dengan lebih baik untuk memudahkan menjadi biochar,” kata Ismail.
Selain berperanan sebagai ejen baja, fungsi lain arang terbabit adalah mengurangkan bau tidak enak di kawasan reban.
Ia juga menjadi racun yang mengawal makhluk perosak dan membekalkan nutrien kepada tanaman untuk jangka masa panjang.
Menurut Sakiinah, kebun mereka memiliki pelbagai tanaman seperti herba masakan dan pokok berbuah serta haiwan ternakan termasuk itik.
Kesemuanya berada dalam kitaran tersendiri, dimana tinja haiwan dijadikan baja tanaman dan sisa tumbuhan pula diproses sebagai makanan haiwan.
“Kita akan mengurangkan agriculture waste… sisa pertanian satu mengurangkan gas metana sebab dia akan meningkat suhu, perubahan iklim dan juga membantu menyuburkan kembali kawasan kebunlah jadi dengan cara itu kita tidak perlu membawa baja import, baja kimia, kita melindungi alam sekitar,” katanya.
Sebagai anak muda, besar harapan mereka agar penggunaan Biochar dijadikan sumber alternatif baja dan racun dari sumber alami sebagai jaminan kelestarian alam sekitar.
Mereka turut berhasrat memperkukuhkan rantaian makanan, sekaligus mengurangkan kebergantungan makanan import.