PUTRAJAYA: Datuk Dr Aminuddin Hassim dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkuat kuasa hari ini, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Sebelum ini, Aminuddin, 54, adalah Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Beliau menggantikan Datuk Zainal Abidin Abu Hassan yang bersara wajib pada 26 Ogos lalu.
Mohd Zuki berkata, pelantikan Aminuddin adalah berdasarkan kelayakan, ciri-ciri kepemimpinan dan pengalaman luas sepanjang memegang beberapa jawatan di pelbagai bidang seperti sumber manusia dan perancangan strategik serta pengurusan, terutama di Kementerian Kewangan dan Perbadanan Putrajaya.
“Saya percaya dengan pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki, beliau dapat memacu agenda sains dan teknologi negara ke tahap yang lebih tinggi bagi pertumbuhan ekonomi, kelestarian persekitaran dan kesejahteraan masyarakat,” kata Mohd Zuki dalam kenyataan, hari ini.
Aminuddin berkhidmat selama 28 tahun sebagai pegawai tadbir dan diplomatik sejak 21 Mac 1984 dan mempunyai Ijazah Doktor Falsafah Pengurusan Ekonomi Alam Sekitar daripada Universiti York, United Kingdom. – BERNAMA