SHAH ALAM: Enam individu direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes tuntutan palsu membabitkan projek tebatan banjir.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mohamed Redza Azhar Rezali bermula hari ini selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menahan empat wanita dan dua lelaki itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Kesemua suspek berusia antara 30 hingga 59 tahun itu ditahan semalam ketika hadir memberi keterangan selepas dipercayai terbabit kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai hampir RM900,000 sekitar 2016 hingga tahun lalu.
Menurut sumber, tiga suspek adalah ketua pegawai operasi, pengarah dan akauntan sebuah syarikat pembinaan, dipercayai berpakat untuk meluluskan pembayaran kepada dua syarikat yang terbabit dalam kerja menaik taraf saliran dan projek tebatan banjir di Selangor sedangkan kerja berkenaan tidak dilaksanakan.