Oleh Shaharil Kadir
BUKIT GANTANG: Komuniti nelayan di sekitar Bukit Gantang, Perak, tidak ketinggalan menyemarakkan sambutan Hari Malaysia dengan menyertai perarakan dan pertandingan bot berhias di Sungai Kerang.
Pelepasan perarakan hampir 200 bot nelayan itu disempurnakan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, LKIM, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal kira-kira jam 9 pagi.
Acara perarakan yang julung kalinya diadakan membabitkan komuniti nelayan di kawasan itu berlangsung di perairan Sungai Kerang, Kelubong dan juga Bagan Panchor.
Kesemua sampan serta bot nelayan yang dihias indah dengan Jalur Gemilang dan bendera Negeri Perak, berarak sejauh kira-kira 10 kilometer.
Mereka turut dinilai dalam pertandingan bot berhias yang dibahagikan kepada kategori bot kecil dan besar.
Pemenang dinilai antara lain berdasarkan hiasan yang menarik, kekemasan serta kreativiti yang ditonjolkan.
Datuk Syed Abu Hussin Hafiz berkata, acara itu akan dijadikan program tahunan dan sebagai kalendar pelancongan daerah.
Sementara itu, nelayan yang ditemui berkongsi pengalaman mereka menghias bot serta sampan yang lazimnya hanya digunakan untuk menangkap ikan.
Ada kalangan mereka mengambil masa sehingga tiga hari bagi menghias bot dengan dibantu rakan dan ahli keluarga.
Menurut nelayan, Farhan Md Said, beliau mengambil masa sehari untuk menyediakan hiasan kain dan bendera, dan sanggup berbelanja kira-kira RM300 untuk menghias sampannya.
Manakala rakannya, Anwar Saad berkata, beliau kebiasaannya menyertai pertandingan menghias rumah, namun kali ini lebih teruja turut sama menyertai pertandingan bot berhias.
Seorang lagi peserta Asiah Kasim gembira acara itu menghimpunkan komuniti nelayan setempat bagi memeriahkan acara sambutan berkenaan.