Tumpuan :
Nasional

10 Hospital Diiktiraf Sebagai Hospital Mesra Ibadah

Oleh Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

PUTRAJAYA: 10 hospital di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menerima pengiktirafan sebagai Hospital Mesra Ibadah (HMI) kerana menyediakan fasiliti serta khidmat bimbingan untuk pesakit menunaikan ibadah ketika menerima rawatan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor azmi Ghazali berkata HMI ialah program kerjasama KKM dan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) bagi memenuhi keperluan spiritual pesakit semasa mendapat rawatan di fasiliti kesihatan melalui pelaksanaan ibadah.

“Kemudahan untuk mengerjakan solat tempat, suasananya mungkin kita bagi motivasi bagi kebaikan fadilat ajar pulak cara melaksanakan wuduk secara orang sakit.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan sijil pengiktirafan kepada wakil-wakil hospital pada Konvokesyen HMI peringkat Kebangsaan 2022 di sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Menurut beliau, standard H-M-I merangkumi enam teras utama iaitu organisasi dan pengurusan, pembangunan dan pengurusan sumber manusia, polisi dan prosedur, peralatan dan kemudahan, aktiviti keselamatan dan peningkatan kualiti serta kerjasama agensi luar.

Antara hospital yang mencapai kriteria HMI ialah Hospital Sultanah Nur Zahirah Terengganu, Hospital Serdang dan Hospital Shah Alam di Selangor serta Hospital Taiping dan Hospital Teluk Intan di Perak.

Turut menerima pengiktirafan ialah Hospital Sultanah Bahiyah di Kedah, Hospital Pulau Pinang, Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat dan Hospital Pontian di Johor serta Institut Kanser Negara di Putrajaya.

Loading...
Terkini