HULU SELANGOR: Sebuah premis makanan di Prima Beruntung, dekat Bukit Beruntung, di sini, bukan sekadar kotor malah longgokan najis tikus turut ditemukan di kawasan dapur.
Pemandangan jijik dikesan susulan pemeriksaan Unit Kawalan dan Penggredan Premis Makanan di Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bersama Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam ke atas premis terbabit.
Berikutan keadaannya yang kotor dan tidak mencapai standard kebersihan ditetapkan itu, premis terbabit diarah menutup operasi mereka serta-merta selama 14 hari.
MPHS melalui kenyataan di Facebook memaklumkan, pemeriksaan dilakukan pihaknya itu susulan maklumat awam mengenai kebersihan premis makanan di Prima Beruntung itu.
“Setelah pemeriksaan dijalankan, didapati tahap kebersihan adalah tidak memuaskan. Tindakan penutupan dan notis pembetulan telah diberikan kepada premis terbabit.
“MPHS juga menutup premis selama 14 hari sehingga 27 September ini akibat terdapat longgokan najis tikus di kawasan dapur premis terbabit,” katanya.
Dalam pada itu MPHS berkata, pihaknya turut mengarahkan pemilik premis dan semua pengendali makanan menghadiri semula Kursus Latihan Pengendali Makanan dalam tempoh 14 hari, selain melaksanakan kawalan serangga perosak (tikus) di premis berkenaan. – BERITA HARIAN