Tumpuan :
Operasi

Laung Azan Usaha Cari Warga Emas Hilang

FOTO: NSTP

SEGAMAT: Genap seminggu kehilangan warga emas Ithnin Warsan, 79, di Kampung Tungku Tiga, dan pelbagai usaha sudah dijalankan namun sehingga kini dia masih belum ditemukan.

Keadaan itu menyaksikan Ketua Kampung, Syed Jaafar Mohamad, 61, melaungkan azan menggunakan alat pembesar suara kenderaan milik Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Bandar Baru Segamat.

Katanya, tindakan itu adalah sebagai usaha untuk mencari Ithnin yang hilang sejak 19 September lalu.

“Kita perlu berusaha tanpa putus asa, bertawakal kepada Allah SWT dan pasrah setiap perkara berlaku adalah atas kehendakNya.

“Penduduk cuma mampu berikhtiar bagi membantu waris keluarga ini dan apa saja yang berlaku kita wajib kena mohon bantuan Allah SWT selain pasrah,” katanya ditemui di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Kampung Tungku Tiga, hari ini.

Sementara itu, Azrul Iqmal Noor Azali, 23 yang juga cucu kepada Ithnin tidak menolak faktor kehilangan Ithnin mungkin dipengaruhi unsur alam makhluk halus.

“Datuk tidak akan merayau atau pergi ke mana pun tanpa memaklumkan ahli keluarga terlebih dahulu terutamanya sebelum keluar bersiar-siar di waktu petang di kawasan sekitar kampung yang dikelilingi kebun kelapa sawit, belukar dan hutan simpan.

“Sebelum ini saya ada mendengar desas desus daripada penduduk kampung berhubung lokasi ‘keras’ di kampung ada kaitan kehilangan datuk.

“Malah ada mendakwa ternampak kelibat lembaga hitam bersaiz gergasi di belukar sekitar kampung ketika usaha mengesan datuk beberapa hari lalu,” katanya.

Azrul Iqmal berkata, selain berusaha mencari di merata tempat, ramai pengamal perubatan tradisional turut menawarkan bantuan mencari Ithnin.

“Ramai pengamal perubatan tradisional menawarkan diri termasuk dari luar Johor, tetapi usaha mencari masih lagi menemui jalan buntu,” katanya ditemui di Kampung Tungku Tiga di sini, hari ini.

Dalam pada itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki warga emas itu diteruskan dengan radius pencarian diperluaskan.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, berkata operasi SAR disertai anggota polis dan bomba.

Katanya, SAR akan memperluaskan radius pencarian kepada lebih dua kilometer jika mangsa tidak berhasil ditemui. -HARIAN METRO

Loading...
Terkini