Tumpuan :
Operasi

Kru Bot Jatuh Laut, Operasi Carilamat Diaktifkan

FOTO: APMM

PELABUHAN KLANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor meneruskan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan seorang kru bot nelayan kelas C SLFA 3026 yang jatuh laut di sekitar perairan Sekinchan, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Siva Kumar Vengadasalam berkata, Operasi CARILAMAT yang dikoordinasikan Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru disambung pada hari kedua mulai jam 7 pagi tadi dengan mengatur gerak bot PENGGALANG 1 selain bantuan nelayan tempatan.

Operasi CARILAMAT hari ini merangkumi keluasan 53.46 batu nautika persegi dengan tertumpu di kawasan perairan Sekinchan.

Terdahulu, operasi CARILAMAT telah diaktifkan pada jam 11.05 pagi semalam dengan mengatur gerak bot PENGGALANG 1.

Dalam pada itu, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) juga telah ditubuhkan di Jeti Bagan Sekinchan.

Mangsa Efendy, 40, warga Indonesia dikatakan telah jatuh laut pada 17 Oktober lalu pada jam 7.30 malam dan dilaporkan tidak memakai jaket keselamatan.

Mangsa yang berambut panjang dilihat kali terakhir memakai baju berwarna kuning dengan seluar bewarna kelabu sebelum dilaporkan hilang di laut.

Orang awam diingatkan agar sentiasa memastikan aspek keselamatan diutamakan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.

Maritim Malaysia meminta orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam.

Loading...
Terkini