Oleh Zahir Senapiah
JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen (JIM) Johor sedang menyiasat segelintir pegawainya disyaki menjadi dalang seludup pendatang tanpa izin (PATI) khususunya dari Indonesia.
Pengarahnya, Baharuddin Tahir berkata, ia susulan penahanan 12 PATI termasuk tiga wanita di kompleks imigresen, kastam dan kurantin (CIQ) di bangunan Sultan Iskandar, pagi tadi.
Katanya, semua PATI terbabit ditahan dalam dua buah kereta, di laluan kenderaan CIQ, Bangunan Sultan Iskandar BSI, Johor Bahru, kira-kira jam 7.20 pagi tadi.
Katanya, turut ditahan dua rakyat tempatan yang bertindak sebagai ‘transporter’.
“Pada peringkat awal sebenarnya mereka ditahan oleh pihak kastam dan pihak kastam telah berhubung dengan pihak Imigresen, dan kita akan buat siasatan bagi kenalpasti siapa bertangungjawab” katanya pada sidang media, di pejabatnya, di Setia Tropika, petang tadi.
Tambahnya, siasatan awal mendapati setiap PATI yang diseludup telah disenaraihitamkan dari memasuki negara ini atas pelbagai kesalahan.
Hasil siasatan awal mendapati, setiap PATI membayar 10 juta rupiah atau tiga ribu ringgit kepada sindiket berkenaan.
Kesemua PATI terbabit direman 14 hari bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6 kurungan satu, kurungan c, Akta Imigresen 1959 palang 63 dan Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.
Manakala dua lelaki tempatan disiasat di bawah Seksyen 55a kiringan satu, Akta Imigresen 1959 palang 63.
12 Oktober lalu, dua pegawai JIM Johor telah ditahan bagi membantu kes sindiket menyeludup pendatang tanpa izin.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, dua individu berumur 20 hingga 27 tahun bertugas di Kompleks Sultan Abu Bakar KSAB di Gelang Patah.