comscore
Tumpuan :
Operasi

Dua Bot Kargo Ditahan Muat Barang Kawalan Tanpa Permit

Foto: APMM

PETALING JAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan dua bot kargo tempatan yang membawa muatan barang kawalan tanpa kebenaran dalam dua siri operasi berasingan yang dijalankan di sekitar perairan Tawau minggu lalu.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bertindak atas maklumat risikan, bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan Ops Sejahtera telah berjaya menahan kedua-dua bot tersebut yang dipercayai bergerak dari Perairan Tawau menuju ke Pulau Sebatik.

Terdahulu, pemeriksaan awal ke atas sebuah bot kargo di kedudukan 1.4 batu nautika selatan Kuala Sungai Tawau mendapati  seorang lelaki warga Indonesia  berusia  33 tahun bertindak selaku juragan dengan membawa muatan barangan runcit.

Pemeriksaan menyeluruh ke atas bot tersebut telah menemukan lebih 1,680 kilogram gula pasir dan 1,258 kilogram minyak masak paket yang disembunyikan di bawah timbunan barang-barang runcit.

Foto: APMM

Pemeriksaan dokumentasi seterusnya mendapati juragan tersebut gagal mengemukakan permit serta kebenaran yang sah dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkaitan barang kawalan yang dibawa.

Dalam kes berasingan, sebuah lagi bot kargo dengan muatan barang runcit turut ditahan di kedudukan 1.8 batu nautika Selatan Kampung Titingan.

Pemeriksaan menyeluruh ke atas bot kargo tersebut menemui sejumlah 27 unit tong gas LPG yang disembunyikan di bawah timbunan barang-barang runcit.

Pemeriksaan dokumentasi mendapati juragan lelaki warga Indonesia berumur 44 tahun bersama seorang pembantu juragan, lelaki  warga tempatan berumur 29 tahun itu gagal mengemukakan permit dan kebenaran berkaitan barangan kawalan yang dibawa.

Kedua-dua bot ditahan bersama juragan dan dibawa ke Jeti Maritim Tawau untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 Dan Akta Kastam 1967.

Kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan  rampasan  dianggarkan berjumlah RM100 ribu.

Loading...
Terkini