Tumpuan :
Negeri

Tarif air bagi kategori bukan domestik dan khas di Pulau Pinang naik mulai 1 Januari

GEORGETOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan melaksanakan pelarasan tarif air baharu bagi kategori bukan domestik dan khas membabitkan rumah ibadat serta kebajikan, premis kerajaan, institusi pengajian tinggi (IPT) dan perkapalan mulai awal tahun hadapan.

Bagaimanapun, bagi pengguna air domestik masih menikmati kadar tarif yang sama seperti biasa kecuali pengguna meter pukal domestik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir K Pathmanathan, berkata pelarasan tarif air baharu bagi kedua-dua kategori itu telah diwartakan Kementerian Alam Sekitar (KASA) dan ia bakal dikuatkuasakan di Pulau Pinang mulai 1 Januari tahun depan.

“Pelarasan ini dilakukan berdasarkan Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) yang dibangunkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), iaitu mekanisme penetapan tarif yang sistematik,adil dan telus bagi memastikan industri perkhidmatan air negara mencapai kemapanan jangka masa panjang.

“Dengan pelarasan tarif baharu ini, pengguna kategori berkenaan dijangka mengalami perubahan dalam bil air bulanan mereka bergantung kepada cara penggunaan air masing-masing.

“Sebagai satu-satunya operator bekalan air di negeri ini, pelarasan tarif air amat penting bagi PBAPP supaya penaiktarafan infrastruktur bekalan air dapat dilaksanakan sekali gus dapat memenuhi permintaan bekalan air pengguna secara mapan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Jelasnya, pelarasan tarif air juga dilaksanakan bagi menampung Projek Pelan Kontingensi Air Mentah (RWCP) 2020 yang sedang berjalan sehingga tahun 2025.

“Kami menasihati pengguna untuk menggunakan sumber berharga (air) dengan bijak.

“Pada masa sama, pengguna turut dinasihatkan memasang peranti penjimatan air (WSD) di premis mereka bagi mengurangkan penggunaan air.

“Selain itu,pemilik perniagaan dan organisasi digalakkan untuk mengambil bahagian secara aktif dalam program Pensijilan Aqua Save melalui laman web Penang Green Council (PGC),” katanya.

Loading...
Terkini