Tumpuan :
Negeri

“Susahnya Nak Dapat Bekalan Telur Ayam!”

KUALA NERUS: Bekalan telur ayam yang tidak mencukupi di pasaran merisaukan orang ramai di daerah ini kerana ia menjadi keperluan hidangan termasuk di musim tengkujuh.

Isu kekurangan bekalan bahan berkenaan bukan perkara baharu, namun ada yang mendakwa keadaan menjadi lebih teruk sejak kerajaan melaksanakan harga kawalan terhadap bahan mentah berkenaan.

Malah, tinjauan Harian Metro di sebuah pasar raya, di sini, mendapati ruang yang menempatkan telur ayam mulai kosong selepas jam 12 tengah hari.

Pengguna, Fauziah Fauzi, 33, dari Gong Badak, di sini, berkata dia akan membeli telur ayam untuk keperluan berniaga, setiap hari.

“Saya berniaga kedai makan dan telur adalah antara keperluan utama untuk menyediakan masakan selain membuat telur separuh masak untuk jualan sebelah pagi.

“Bagi memastikan tidak terlepas, saya terpaksa datang setiap hari dan beratur untuk mendapatkan telur ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Peniaga kuih Halimah Jusoh, 53, dari Kampung Mengabang Telipot, di sini, berkata dia memerlukan telur dalam kuantiti yang banyak untuk membuat kuih-muih.

“Saya membuat pelbagai kuih-muih untuk jualan dan krisis telur ayam ini menyebabkan perniagaan saya terganggu sehingga ada ketika langsung tidak berniaga kerana tidak ada telur untuk membuat kuih,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Sabasun HyperRuncit Sdn Bhd, Mohd Azuan Sa’ad berkata, pihaknya terpaksa mengehadkan pembelian hanya dua papan telur untuk setiap pelanggan bagi memastikan pembeli lain dapat memperolehi bekalan itu.

Katanya, pihaknya juga terpaksa ‘mencatu’ had pembelian kerana kuantiti yang diterima daripada pembekal sangat sedikit.

“Sebelum krisis, kita menerima sebanyak 1,000 papan telur ayam, tetapi sejak kebelakangan ini, pembekal hanya boleh bagi 100 papan sahaja.

“Sebanyak 10 peratus daripada kuantiti yang sepatutnya kami terima ‘hilang’ dan bayangkan bagaimana kita nak jual dengan kuantiti sebanyak itu,” katanya.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini