comscore
Tumpuan :
Negeri

SMK Bandar Mas, Kota Tinggi Sekolah Pertama Terima Sijil myGAP

Oleh Zahir Senapiah

KOTA TINGGI: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Mas, Kota Tinggi, Johor dipilih sebagai penerima pertama sijil Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP).

Pemilihan itu dibuat Jabatan Perikanan selepas kejayaan 50 pelajar tingkatan 4 dan 5 serta guru sekolah itu yang berjaya menghasilkan lebih 15,000 benih anak ikan talapia dan keli, bagi setiap pusingan pengeluaran.

SMK Bandar Mas adalah antara sekolah yang dipilih Kementerian Pendidikan menawarkan Program Vokasional Menengah Atas (PVMA) dalam bidang akuakultur kepada pelajarnya.

Menurut pengetuanya Afandi Ngadiman, anugerah ini satu pengiktirafan besar kepada sekolah, guru dan pelajar sekolah itu.

Ini kerana bukan mudah untuk mendapatkan sijil myGAP kerana perlu mematuhi pelbagai syarat dan prosedur yang ketat.

“Kami telah memulakan projek ini pada tahun 2018, melalui pelbagai halangan dan rintangan, namun alhamdulillah akhirnya berjaya. Syarat yang dikenakan bagi mendapatkan sijil myGAP ini amat teliti jadi kami kena mematuhi prosedur dan arahan yang ditetapkan,” katanya ditemui media selepas majlis penyampaian sijil myGAP di sini, hari ini.

Beliau turut berterima kasih kepada pegawai Jabatan Perikanan yang sentiasa memberi khidmat nasihat dan tunjuk ajar hingga projek itu membuahkan hasil.

Salah seorang guru yang menjayakan projek itu, Hailazey Jamal berkata selain menghasilkan anak benih, pelajar juga
didedahkan bagaimana cara menjual benih ikan kepada penternak.

Jelasnya, semua proses jual beli dikendalikan pelajar sendiri termasuk proses membungkus yang dipantau guru bertugas.

Apa yang penting katanya, kejayaan projek itu memberi satu bentuk motivasi berguna kepada pelajar terutama yang meminati bidang pertanian apabila tamat persekolahan kelak.

Hakikat itu diakui salah seorang pelajar, Siti Nur Syamimi Hassan.

“Pengalaman paling berharga adalah bagaimana nak merawat ikan, bela anak benih dan mengendalikan kolam bersih dan membuat sanitasi. Sebelum ini saya tidak tahu perkara ini penting untuk menternak benih ikan,” katanya.

Dalam pada itu Ketua Pengarah Jabatan Perikanan, Datuk Mohd Sufian Sulaiman berkata, kejayaan SMK Bandar Mas akan dijadikan ikon kepada jabatan berkenaan.

“SMK bandar Mas telah meletakkan satu tanda aras yang memberangsangkan, jadi kami di peringkat jabatan akan mengangkat kejayaan ini untuk di contohi sekolah lain yang turut menawarkan PVMA khususnya dalam bidang pertanian di masa depan” katanya.

Loading...
Terkini