Oleh Buletin TV3
PETALING JAYA: Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) mengesan terdapat cubaan penipuan urusniaga tanah dengan memperdaya orang ramai yang menggunakan nama agensi itu serta Pejabat Daerah dan Tanah, PDT termasuk nama Menteri Besar. Satu laporan polis telah dibuat terhadap kes-kes yang dikenalpasti.
PTGS dalam satu kenyataan menjelaskan, modus operandi sindiket ialah dengan penyamaran sebagai orang yang dilantik berurusan dengan PTGS dan PDT. Notis dikeluarkan untuk menjual hartanah dengan tandatangan yang palsu menggunakan nama pegawai-pegawai kanan yang masih berkhidmat ataupun yang sudah berpencen.
“Terdapat juga pihak yang menggunakan nama pegawai-pegawai kanan dan tertinggi PTGS dan PDT yang masih berkhidmat mahupun telah berpencen dengan memberikan maklumat dan janji-janji palsu bagi urusan jual beli tanah.”
“Justeru, PTGS ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan kegiatan sindiket penipuan dalam urusan jual beli hartanah. Terdapat pelbagai modus operandi atau faktor yang menjurus ke aras masalah penipuan ini berlaku sama ada melibatkan sindiket atau pun perseorangan.”
Sehubungan dengan itu, pembeli yang berhasrat untuk memiliki hartanah dinasihatkan berhati-hati agar tidak menjadi mangsa dalam penipuan ini. Di antara langkah-langkah yang boleh dilakukan bagi mengelakkan tertipu ialah dengan memastikan kewujudan tanah melalui daftar pelan yang sah,
membuat semakan berkaitan pemilikan (tuan punya tanah), menyemak sekatan kepentingan seperti kebenaran hak milik, kaveat dan cagaran/ gadaian.
Selain itu, memastikan wakil mempunyai Surat Kuasa Wakil yang sah, wujudkan perjanjian jual beli, menggunakan khidmat peguam yang sah, menggunakan khidmat agen hartanah yang berpengalaman dan berjumpa dengan tuan tanah untuk mendapatkan pengesahan.
PTGS menegaskan bahawa tidak pernah melantik mana-mana individu mewakili agensi itu bagi sebarang urusan urusniaga hartanah.
Semak terlebih dahulu dengan PTGS atau mana-mana PDT bagi menggelakkan menjadi mangsa jual beli hartanah di Selangor.