Oleh Baharuddin Mohamed
MELAKA: Kerajaan Melaka akan menjalankan siasatan forensik di sekitar tapak Bazar Kraftangan Dataran Pahlawan di sini bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian siling runtuh, Ahad lalu.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, tinjauannya ke tapak kejadian itu semalam mendapati terdapat beberapa faktor menyebabkan berlakunya runtuhan.
Antara punca yang dikenal pasti katanya, ialah kawasan atas tapak bazar itu dijadikan sebagai parkir kereta, selain turut dijadikan tempat memunggah barang.
“Reka bentuk kawasan ini sebenarnya tidak sesuai untuk dijadikan parkir kereta di sebelah atas. Ini dari segi teknikal.
“Disebabkan itu, berlaku retakan di atas padang yang menyebabkan bebanan berlaku dan seterusnya terhasil tompokan air yang meresap di batu yang akhirnya jatuh ke plaster siling dan itu menyebabkan siling itu runtuh.
“Oleh itu, saya mengarahkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bahagian atas daripada terus dijadikan tempat parkir kereta, selain sebarang kerja-kerja pemunggahan barang di situ juga dihentikan serta-merta,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Apresiasi MPHTJ 2022 sempena Sambutan Hari Perbandaran Hang Tuah Jaya ke-13 di sini, hari ini.
Menurut Zaidi, pihaknya bagaimanapun tidak bercadang untuk memindahkan peniaga di kawasan itu ke lokasi lain buat masa ini.
Ia ujarnya, berikutan dari segi teknikal, kejadian yang berlaku baru-baru ini tidak melibatkan keseluruhan 136 unit gerai perniagaan yang beroperasi di bazar terbabit.
Sebaliknya, tambah beliau, ia hanya membabitkan 20 unit sahaja yang bermasalah di bahagian hadapan.
“Kita akan mendapatkan dokumen pembaikan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan hasil dapatan itu akan kita lakukan pembetulan struktur dengan kadar segera,” katanya.