SHAH ALAM: Elaun 2,825 guru Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Selangor akan diselaras kepada RM1,500 sebulan bermula Januari tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata guru Kafa di negeri ini masih dibayar elaun serendah RM1,350 sebulan walaupun peranan mereka besar dalam mengajar pendidikan Islam kepada anak-anak untuk menjadi Islam sejati dan insan syumul.
“Atas keprihatinan kerajaan negeri, pelarasan elaun minimum Guru Kafa RM1,500 sebulan akan dilaksanakan bermula Januari 2023.
“Sebagai tambahan, sukacita diumumkan elaun bulanan bagi 2,825 guru Kafa akan diseragamkan dan dinaikkan kepada RM1,500 sebulan yang mana kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM4.8 juta bagi tujuan pelarasan berkenaan,” katanya pada pembentangan Belanjawan Selangor 2023, hari ini.
Katanya, inisiatif kepada warga pendidik ini disifatkan sebagai pelaburan yang berbaloi kepada Pendidikan Islam Negeri Selangor kerana melahirkan generasi masa depan yang berilmu dan beragama.
Amirudin berkata, 32 penyelia KAFA seluruh negeri ini pula bakal menerima insentif khas RM100 sebulan dengan implikasi kewangan RM38,400 setahun.
“Dengan itu, sedikit sebanyak dapat meningkatkan semangat dan motivasi mereka untuk memberi perkhidmatan yang terbaik dalam pengurusan Kafa Selangor khususnya,” katanya.
Dalam pada itu, elaun Ketua Kampung Tradisi, Ketua Kampung Baru/ Bagan serta Ketua Komuniti India turut diselaraskan kepada RM1,500 sebulan daripada RM1,200 sebelum ini.
Amirudin berkata, bagi tujuan penyelarasan itu, kerajaan negeri memperuntukkan tambahan sebanyak RM1.843 juta bagi tahun 2023 dan kadar elaun yang baharu itu akan bermula pada Januari 2023. -HARIAN METRO