SHAH ALAM: Selangor komited untuk membangunkan industri penerbangan dan aeroangkasa bagi meneroka potensi pelaburan serta rakan kongsi di peringkat global dan domestik.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata sejak 2020 sehingga hari ini, Selangor kekal sebagai lokasi pilihan selain terdapat peningkatan ketara dalam kehadiran syarikat penerbangan dan aeroangkasa di negeri itu.
Sehubungan itu, katanya, industri penerbangan dan aeroangkasa dikenal pasti sebagai salah satu sektor fokus dalam pelan pembangunan lima tahun Selangor iaitu Rancangan Selangor Pertama (RS-One).
“Antara iniasitif di bawah RS-One adalah untuk membangunkan Taman Industri Aeroangkasa, bagi memenuhi permintaan daripada pemain industri sedia ada dan baharu untuk menubuhkan operasi serantau di Malaysia.
“Selangor juga akan membangunkan Pusat Kecemerlangan Dron Selangor di Unisel Bestari Jaya, iaitu tempat untuk membangunkan teknologi dron baharu dan modal insan yang diperlukan bagi menyokong ekosistem dron semasa di negara ini,” katanya ketika berucap merasmikan Pameran Penerbangan Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Serantau, Subang SkyPark, di sini, hari ini.
SAS 2022 yang dianjurkan oleh kerajaan Selangor dan Invest Selangor buat kali kedua, dirasmikan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Turut hadir Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Industri Selangor, Datuk Teng Chang Khim.
Beliau juga berkata, dalam usaha menaikkan industri penerbangan dan aeroangkasa, Selangor akan membangunkan Lapangan Terbang Bernam bagi aktiviti pesawat ringan seperti penerbangan rekreasi dan latihan.
“Kerajaan negeri juga mengetuai beberapa misi perdagangan bagi mengenal pasti bidang kerjasama dan melihat bagaimana pemain industri dan agensi kerajaan boleh bekerjasama untuk memastikan kemampanan dan pertumbuhan dalam industri penerbangan dan aeroangkasa,” katanya.
SAS 2022 kali ini mendapat penyertaan 56 syarikat berkaitan perkhidmatan penerbangan, penyelenggaraan dan logistik termasuk dari Thailand, Brazil, Perancis, United Kingdom (UK), Kanada, Singapura dan Amerika Syarikat (AS).
Pameran selama tiga hari bermula hari ini hingga Sabtu, akan dipenuhi dengan pelbagai program menarik termasuk forum industri, pembentangan, aktiviti kerjasama dan program pembelajaran untuk pelajar dalam pengajian penerbangan termasuk joyride untuk orang ramai
SAS 2022 mensasarkan kehadiran pengunjung sebanyak 8,000 orang menerusi pengisian forum dan sesi pendidikan pada hari ketiga. – Berita Harian