Tumpuan :
Negeri

‘Rumah Tengah Pekan, Tetapi Elok Lagi Setinggan’

ALOR SETAR: “Rumah kami di tengah pekan (bandar raya), tetapi keadaan lebih elok di kawasan setinggan,” rintih penduduk Rumah Pangsa Simpang Kuala di sini, mengenai masalah yang dialami mereka.

Abu Bakar Mat, 54, berkata penempatan itu kini tidak lagi selesa diduduki penduduk kerana bangunannya tidak diselenggara baik, selain kawasan persekitarannya pula dibiar pihak berkuasa.

Katanya, keadaan bertambah buruk apabila ada pemilik rumah menyewakan unit mereka kepada pendatang asing, selain kawasan itu turut menjadi sarang penagihan dadah.

“Penduduk berasa tidak lagi selamat tinggal di sini, berbanding kira-kira 10 tahun lalu. Motosikal perlu diletak berhampiran rumah dan kasut tidak boleh ditinggalkan luar, jika tidak memang semuanya akan hilang.

“Penagih dadah pula merayau jam dua tiga pagi, mencari peluang mencuri apa sahaja yang ditinggalkan penduduk. Malah cermin kereta saya pernah dipecahkan dan baterinya dicuri,” katanya yang tinggal di Blok E ketika ditemui di sini, hari ini.

Abu Bakar berkata, masalah yang dialami penduduk pernah diadukan kepada pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan polis, namun tiada tindakan tegas diambil bagi membantu mereka.

Katanya, mungkin kerana kebanyakan penduduk adalah golongan berpendapatan rendah, maka aduan mereka tidak mendapat perhatian sewajarnya pihak berkenaan.

“Lihat pula kawasan persekitaran rumah pangsa ini, masalah rumput panjang dengan longkang pula dipenuhi sampah dan berbau. Sepatutnya kerja penyelenggaraan berkala dibuat, tetapi sebaliknya kami pula diminta membersihkannya sendiri.

“Bukan kami tidak boleh buat, malah memang kami ada membersihkan sendiri kawasan sekeliling rumah pangsa. Cuma tidak sampai ke kawasan berumput berdekatan jalan dan longkang utama yang besar,” katanya yang bekerja sebagai peniaga.

Rosnani Abu Bakar, 59, yang juga menetap di rumah pangsa berkenaan sejak lebih 20 tahun lalu, berkata masalah penyelenggaraan menyebabkan kediaman mereka kelihatan lebih buruk daripada rumah setinggan.

Katanya, untuk menuduh penduduk tidak menjaga kebersihan kawasan persekitaran rumah sepenuhnya adalah tidak tepat, kerana masalah kemudahan yang rosak perlu diselesaikan pihak berkuasa.

“Lihat sendiri keadaan rumah sampah kami, tong sampah yang disediakan terlalu kecil dan sampah yang dibuang pula terlalu banyak. Pihak bertanggungjawab mengutip sampah pula tidak mengutip semua sampah, mesti ada yang ditinggalkan.

“Keadaan itu mengundang anjing liar, selain lalat dan tikus pula banyak berkeliaran sehingga masuk ke rumah penduduk berdekatan. Saya harap pihak berkuasa dapat ambil tindakan segera,” katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar MBAS, Datuk Zaid Ahmad ketika dihubungi, enggan mengulas berikutan kerja penyelenggaraan Rumah Pangsa Simpang Kuala terletak di bawah Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini