comscore
Tumpuan :
Negeri

RM3 juta baik pulih cerun runtuh di Taman Bukit Berlian Seremban

Kejadian cerun runtuh di Taman Bukit Belian, Khamis lalu. – FOTO: NSTP

SEREMBAN: Kos membaik pulih runtuhan cerun di Taman Bukit Berlian di sini, dianggarkan hampir mencecah RM3 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata kawasan berkenaan sudah diisytiharkan sebagai kawasan bencana berikutan masih berlaku pergerakan tanah yang berisiko tinggi menyebabkan runtuhan lebih besar.

Katanya, selain itu beberapa kawasan di daerah lain seperti di Jempol, turut berlaku cerun runtuh sehingga menjejaskan pergerakan dan keselamatan orang ramai.

“Kes tanah dan cerun runtuh kebelakangan ini dilihat berlaku di banyak tempat dan ia membabitkan kes serius kerana menghampiri tempat tinggal serta ada yang menyebabkan jalan atau laluan terputus.

“Kerajaan negeri sudah mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil tindakan segera dan ketika ini mereka sedang melantik kontraktor berkelayakan untuk jalankan kerja pembaikan.

“Terdapat sebahagiannya yang masih dalam proses penilaian kos, namun kos membaiki runtuhan cerun di Taman Bukit Berlian Seremban antara yang tertinggi setakat ini, iaitu hampir mencecah RM3 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Mengenai kes banjir kilat, Aminuddin berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan sedang mengambil tindakan segera, selain mengenal pasti punca berlaku kekerapan kejadian banjir.

“JPS negeri diminta melihat beberapa keperluan seperti menaik taraf perparitan sedia ada bagi mencegah kejadian sama berlaku setiap kali hujan lebat,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kejadian cerun runtuh di Taman Bukit Berlian menyebabkan 12 rumah dan 47 penduduk di Jalan Berlian 5 itu, terjejas.

Pihak polis telah menutup kawasan terbabit untuk kerja-kerja baik pulih.

Loading...
Terkini