comscore
Tumpuan :
Negeri

Premis jual jenama tiruan diserbu

Oleh Naim Fitri Abu Bakar

GEORGETOWN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas pelbagai barangan jenama tiruan di sebuah premis di Kampung Kastam, Gelugor, semalam.

Pengarahnya, R.S. Jegan berkata, serbuan yang dilakukan sepasukan anggota penguatkuasa pada jam 12.28 tengah hari itu adalah hasil daripada aduan yang diterima melalui JasDev Chambers.

Menurutnya, serbuan pihaknya bersama wakil pemilik cap dagangan telah menemui barang-barang yang cap dagangan dipakai dengan salah iaitu jenama Calvin Klein (CK) dan Louis Vuitton (LV).

“Dalam serbuan itu kita telah merampas sebanyak 215 helai baju, 28 unit topi, 36 buah beg jenama CK.

“Selain itu, tiga helai baju, 15 unit beg, 18 tali pinggang dan 16 pasang sandal jenama LV turut dirampas dan keseluruhannya dianggarkan bernilai RM4,180,” katanya dalam kenyataan media.

Jegan berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“KPDN juga mengalu-alukan kerjasama daripada pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran sedia ada bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan,” katanya.

Loading...
Terkini