KUALA TERENGGANU: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Kampung Kemat, Hulu Terengganu, ditutup dengan keseluruhan 71 mangsa membabitkan 23 keluarga sudah dibenarkan pulang, kira-kira jam 4 petang tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu memaklumkan, ia berikutan air mulai surut kira-kira jam 3 petang.
PPS itu dibuka bagi menempatkan 43 mangsa banjir (15 keluarga), petang semalam, namun bilangan terbabit meningkat kepada 71 orang, setakat jam 8 pagi tadi.
Berdasarkan maklumat laman sesawang Public InfoBanjir, Jabatan Pengairan dan Saliran, hingga jam 3.45 petang tadi, paras air bagi semua sungai di Terengganu adalah normal.