RANTAU PANJANG: Pembinaan laluan air pada benteng di bawah projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok yang dipercayai belum siap sepenuhnya meresahkan penduduk terutama di Kampung Tersang, di sini, susulan musim tengkujuh yang bakal tiba tidak lama lagi.
Tinjauan ke kawasan pembinaan semalam, mendapati terdapat beberapa lokasi laluan air yang sedang dibina di sepanjang benteng bermula di Kampung Tersang sehingga ke Jalan Lubok Jong, Pasir Mas.
Penduduk, Noriazila Rosli, 33, mengakui bimbang banjir besar melanda lagi memandangkan kawasan itu biasanya akan berhadapan bah gelombang pertama sekitar Oktober pada setiap tahun.
“Kami orang kampung yang tidak pandai dengan struktur pembinaan benteng yang dijalankan, tetapi jika fikir secara logik, kalau laluan air masih belum disiapkan pasti banjir teruk di penempatan kami berulang lagi.
“Besar harapan penduduk di sini supaya pihak bertanggungjawab dapat menyegerakan pembinaan laluan air sepenuhnya kerana berhadapan dengan pengalaman hampir kesemua kediaman tenggelam adalah suatu yang menakutkan.
“Sejujurnya, kami tidak menolak pembangunan malah menyokong segala perancangan kerajaan tetapi biarlah yang tidak memberi kesan negatif kepada penduduk sekitar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tersang, semalam.
Noriazila berkata, banjir yang melanda Februari lalu adalah yang terburuk pernah berlaku di kampungya, malah paras air juga melebihi bacaan ketika bah 2014.
Selain Kampung Tersang terdapat juga beberapa penempatan lain yang turut menerima kesan sama seperti Kampung Gual To’Deh, Kampung Lachang, Kampung Luar dan Kampung Gual Periok.
Bagi Mohd Rodi Zakaria, 55, pula jika banjir melanda, kawasan berdekatan benteng itu berubah seperti lautan yang luas, justeru pembinaan laluan air adalah sangat penting supaya ia boleh mengalir sekali gus mengurangkan paras air di beberapa kampung yang terjejas.
“Mendengar pihak berkaitan menjelaskan tentang pembinaan laluan air benar-benar melegakan penduduk di sini,
namun apa yang penting ialah untuk mempercepatkan pembinaanya kerana banjir bakal tiba lagi.
“Tiada niat untuk penduduk ‘mengganggu’ proses pembinaan sekadar meluahkan rasa bimbang selain berharap ia dipercepatkan kerana kami orang lama di sini yang dapat mengagak jika banjir akan melanda lagi.
“Bagaimanapun, saya berharap agar bah kali ini tidak sebesar Februari lalu supaya kami boleh menghadapinya dengan baik selain berdoa semoga urusan pembinaan benteng berjalan lancar tanpa meninggalkan kesan negatif kepada penduduk,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan Kamal Mustapha, ketika dihubungi berkata pihaknya berusaha sebaik mungkin untuk memastikan pembinaan benteng melalui projek PLSB berjalan lancar tanpa memberi kesan negatif pada mana-mana pihak.
Menurutnya, beberapa cadangan untuk mengurangkan impak banjir juga sedang dipertimbangkan dan keputusan melalui kementerian berkaitan akan diumum dalam masa terdekat. – BERITA HARIAN