Oleh Azaman Awang
SANDAKAN: Dua badan bukan kerajaan (NGO) Yayasan AIDS Malaysia (MAF) dan Persatuan Kesedaran AIDS Sabah (SAGA) bekerjasama menerusi inisiatif mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh pesakit HIV dalam golongan tidak berkemampuan dan berpendapatan rendah di Pantai Timur Sabah.
Inisiatif berkenaan diambil dengan membantu membiayai kos pengangkutan pesakit, untuk memastikan mereka hadir pada setiap janji temu di hospital dan klinik kerajaan bagi menerima rawatan berterusan.
Pakar Perubatan Keluarga dan Pengasas SAGA, Dr Zaiton Yahaya berkata, pihaknya menyasarkan bantuan kewangan itu kepada pesakit terutama golongan B40 yang berdepan masalah pengangkutan.
Katanya, selain pesakit HIV, bantuan turut diberikan kepada pesakit yang menghidap penyakit kronik lain yang memerlukan.
Menurut Dr Zaiton, seramai 600 pesakit telah mendapat manfaat dari bantuan tersebut yang disumbangkan Yayasan Petronas, Yayasan Sime Darby, Kumpulan Sunway dan Penerbangan Malaysia MAS, ianya tertumpu di kawasan Pantai Timur Sabah.
Usaha yang sama bakal diteruskan ke Pantai Barat Sabah seperti di Kota Kinabalu, namun bergantung kepada sumbangan syarikat korporat yang diterima.