comscore
Tumpuan :
Negeri

Modul Pendidikan Zakat Di 553 Sekolah JAIS

SHAH ALAM: Semua sekolah di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sudah memulakan Modul Pendidikan Zakat Selangor yang diperkenalkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Sabirin Mohd Sarbini, berkata sebanyak 553 sekolah membabitkan sekolah rendah, menengah serta Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) mengguna pakai modul ini bermula Mac lalu.

“LZS dengan kerjasama JAIS mengambil inisiatif menyebarluaskan pendidikan zakat dalam kalangan pelajar sekolah menerusi Modul Pendidikan Zakat Selangor.

“Modul Pendidikan Zakat Selangor ini digunakan bagi sesi pembelajaran 268,412 pelajar sekolah rendah agama dan menengah di bawah seliaan JAIS.

“Sebanyak RM284,000 wang zakat diperuntukkan bagi mencetak buku modul untuk kegunaan pelajar-pelajar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran disempurnakan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang dihadiri 300 guru sekolah berkenaan di Masjid Negeri, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Mufti Selangor, Datuk Anhar Opir dan Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.Sabirin berkata, sebanyak lima modul khusus diperkenalkan membabitkan satu modul bagi pelajar sekolah rendah agama dan empat modul bagi pelajar sekolah menengah bermula Tingkatan Satu hingga Tingkatan Empat.

“Modul-modul ini merangkumi perkara berkaitan zakat seperti kewajipan ibadah zakat, jenis-jenis zakat, kiraan zakat, prinsip agihan, pengurusan amil, perundangan dan fatwa membabitkan zakat.

“Kandungan modul ditulis dengan lengkap berserta rujukan, kajian dan hujahan yang menyokong setiap isi yang dibahaskan.

“Bagi melihat keberkesanan pembelajaran silibus ini, LZS dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Islam JAIS akan memantau pelaksanaan modul dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif membudayakan zakat melalui pendidikan ini adalah strategi jangka panjang LZS bagi melahirkan generasi celik zakat dengan memupuk kesedaran awal dalam kalangan pelajar yang juga bakal menjadi pengeluar zakat pada masa depan. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini