Tumpuan :
Negeri

Melaka sasar pelaburan asing RM6 bilion pada 2023

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Jumlah kemasukan pelaburan asing ke Melaka dijangka mampu mencapai sasaran sebanyak RM6 bilion pada tahun hadapan.

Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, peningkatan sasaran itu adalah berdasarkan kepada minat ditunjukkan empat negara yang ingin melabur dalam bidang automotif serta gentian kaca.

Beliau berkata, keyakinan itu juga bersandarkan kepada jumlah pelaburan sebanyak RM3 bilion daripada sebuah syarikat asing yang mahu bertapak di Ayer Keroh.

Menurutnya, tahun hadapan bakal menyaksikan penambahan pelaburan daripada syarikat sedia ada di Melaka dan kemasukan pelaburan baharu dari Jerman, Taiwan, Jepun serta Korea.

“Bagi tahun ini untuk pelaburan asing di Melaka telah melepasi sasaran RM5 bilion. Perancangan untuk pelaburan tahun hadapan, kita (Kerajaan Negeri) akan mengembangkan lagi kawasan-kawasan industri baharu dengan membawa masuk pelaburan baharu.

“Pelabur dan pedagang-pedagang ini akan membantu bersama-sama memajukan Negeri Melaka menerusi Skim Galakan diwujudkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Sebuah syarikat automotif dari Jerman turut mengintai peluang pelaburan di Negeri Melaka selain syarikat kaca dari China yang mahu menambah pelaburan melebihi RM1 bilion tahun depan,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke Kilang Koa Denko, di Batu Berendam di sini, hari ini.

Hadir sama, sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Melaka (MCorp), Datuk Mashitah Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka Berhad, Datuk Ramli Mohd Ali.

Pada sesi lawatan itu juga, Ab Rauf turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Wakil Kilang Kao Denko, Seiji Ozawa dan PDG Development diwakili Datuk Seri Gwee Yew Kiat.

MoU tersebut adalah perjanjian penyewaan asrama pekerja zon Industri Ayer Keroh baharu.

Beliau memaklumkan misi pelaburan juga akan diadakan ke empat negara berkenaan pada 2023 bagi mengintai lebih banyak peluang baharu.

Loading...
Terkini