Oleh Baharuddin Mohamed
MELAKA: Kerajaan Melaka mengarahkan semua kerja pengorekan dan penyelenggaraan jalan di seluruh negeri itu dihentikan sementara bermula hari ini hingga 26 Oktober.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, arahan itu dilakukan bertujuan mengelakkan sebarang gangguan dan kesesakan lalu lintas semasa perayaan Deepavali yang disambut 24 Oktober ini.
“Jumlah kenderaan dijangka meningkat dengan banyak semasa musim perayaan ini.
“Perayaan itu kebetulan jatuh pada hari ini yang menyebabkan cuti yang panjang sekali gus memberi peluang warga perantau pulang ke kampung halaman atau orang ramai datang bercuti ke Melaka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Rahmad, arahan berkenaan bukan sahaja dikeluarkan sempena sambutan Deepavali ini sebaliknya turut dilakukan pada sambutan perayaan utama lain seperti Hari Raya dan Tahun Baru Cina.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak terlibat dengan kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan mematuhi arahan berkenaan.
Tegasnya, ini bagi mengelakkan sebarang kesulitan kepada lalu lintas dalam tempoh tersebut.
“Kita berharap perkara ini mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya daripada pihak yang berkenaan,” katanya.