JOHOR BAHRU: Seramai 145 pegawai dan anggota dilantik sebagai Warden Lalu Lintas oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi memastikan aliran lalu lintas di negeri ini sentiasa berada dalam keadaan lancar dan terkawal.
Datuk Bandar MBJB, Datuk Mohd Noorazam Osman, berkata pelantikan itu bagi menjalankan kuasa di bawah Subseksyen 3 (4B) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Pegawai dan anggota yang dilantik ini diwartakan dalam Warta Kerajaan pada 23 Disember 2021.
“Seiring dengan pembangunan dan kemajuan infrastruktur, berlaku pertambahan jumlah kenderaan di jalan raya, khususnya di Johor Bahru yang bersempadan dengan Singapura. MBJB perlu melaksanakan perancangan dengan lebih terperinci dan teliti bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan kelancaran trafik.
“Pelantikan Warden Lalu Lintas ini adalah inisiatif baharu sebagai nilai tambah dalam memastikan aliran lalu lintas di bandar raya Johor Bahru berada dalam keadaan lancar dan terkawal,” katanya ketika berucap pada mesyuarat penuh MBJB di Menara MBJB, di sini, hari ini.
Mohd Noorazam berkata, semua Warden Lalu Lintas itu menjalani Kursus Asas Trafik Warden Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Johor pada 15 hingga 17 Ogos lalu serta latihan lapangan di Dataran Bandaraya Johor Bahru dan jalan utama di sekitar pusat bandar.
Katanya, anggota penguatkuasa itu akan membantu pihak polis mengawal aliran trafik di kawasan bandar raya ini bermula jam 7 pagi hingga 10 malam.
“Warden Lalu Lintas ini turut dibekalkan kamera badan bagi merekod kesalahan pengguna jalan raya, selain menjadi bukti jika terdapat provokasi dan ancaman keselamatan.
“Selain itu, peranti ‘handheld’ bagi pengeluaran kompaun juga diintegrasikan dengan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengesahkan maklumat berkaitan pemilik kenderaan di lapangan dengan dilengkapi sistem Pengesan Kedudukan Global (GPS) bagi memperkasa tugas Warden Lalu Lintas MBJB.
“Saya ingin mengingatkan anggota yang dilantik menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan profesional dan penuh integriti,” katanya.-BERITA HARIAN