comscore
Tumpuan :
Negeri

Lebih 400 Petani Pahang Terjejas Banjir Terima Bantuan

Foto: BERITA HARIAN

KUANTAN: Seramai 435 petani dan usahawan Industri Asas Tani (IAT) di seluruh Pahang yang terjejas dengan bencana banjir tahun lalu menerima Bantuan Projek Pembangunan Semula Agromakanan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Pengarah Jabatan Pertanian Pahang, Muhd Rizal Baharom, berkata bencana itu menyebabkan tanaman buah-buahan, sayur-sayuran, kontan dan komoditi bernilai tinggi seluas kira-kira 533.9 hektar musnah.

Beliau berkata, program bantuan projek pembangunan semula agromakanan yang diwujudkan MAFI bertujuan untuk membantu petani dan usahawan IAT yang terjejas dengan bencana alam seperti banjir kembali memulakan projek yang diusahakan.

“Kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap sekuriti makanan bagi memastikan kelangsungan bekalan makanan yang cukup, selamat, bernutrisi dan mampu dibeli secara berterusan oleh rakyat di semua peringkat.

“Bantuan projek pembangunan semula agromakanan adalah inisatif kerajaan untuk membantu petani dan usahawan IAT yang terkesan banjir untuk meneruskan perusahaan agromakanan mereka, bagi menjamin sekuriti makanan berterusan dan nasib petani serta usahawan terbela,” katanya pada Program Penyampaian Bantuan Projek Pembangunan Semula Agromakanan Pejabat Pertanian Daerah Kuantan yang disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah, di sini.

Muhd Rizal berkata, seramai 111 petani di daerah ini terbabit dengan banjir membabitkan keluasan tanaman adalah 144.25 hektar, mereka menerima bantuan imput pertanian seperti baja, bokashi, peralatan mesin termasuk mesin rumput serta pam racun.

Sementara itu, Mohd Shahar yang juga Ahli Parlimen Paya Besar berkata, bantuan yang disediakan MAFI kepada petani dan usahawan IAT bukti keprihatinan kerajaan kepada golongan terbabit.

“Saya berharap bantuan yang diberikan kerajaan dapat membantu petani dan usahawan IAT untuk kembali meneruskan projek yang diusahakan.

“Kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan kepada rakyat yang terkesan dengan bencana banjir,” katanya.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini