Oleh Baharuddin Mohamed
MELAKA: Sebanyak empat restoran hotel di sini diarahkan tutup serta merta ekoran tahap kebersihan yang tidak memuaskan termasuk membiarkan kehadiran lalat, lipas dan tikus.
Arahan penutupan itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan Melaka dalam Ops Hotel yang dilaksanakan pada 29 dan 30 November lalu.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, kesemua restoran hotel itu ditutup selama 14 hari sehingga 15 Disember ini.
“Antara kesalahan yang turut dikesan ialah tiada suntikan, tiada kursus pengendali makanan, tidak memakai apron dan penutup kepala,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata Dr. Rusdi, tindakan itu diambil di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
“Bagi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, sebanyak 14 kompaun bernilai RM10,400 dikeluarkan.
“Sebanyak 40 hotel termasuk bertaraf lima bintang diperiksa dalam operasi yang dijalankan selama dua hari itu,” katanya.
Menurut Dr. Rusdi, dalam operasi sama, sebanyak lapan hotel dikesan mempunyai tempat pembiakan jentik-jentik.
“Sejumlah sembilan kompaun kesalahan bernilai RM4,500 dikeluarkan ke atas pemilik hotel yang dikesan membiak jentik-jentik,” katanya.
Ujar beliau, pihaknya juga memberi fokus kepada penguatkuasaan pematuhan larangan merokok dan vape di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.
Bagaimanapun pihaknya berpuas hati dengan tahap pematuhan tersebut di semua premis terbabit.
Tambah Dr. Rusdi operasi berkenaan dijalankan di sekitar daerah Melaka Tengah iaitu di Ayer Keroh, Bukit Katil, Jalan Tun Sri Lanang, Jalan Hang Tuah, Bandar Hilir, Melaka Raya dan Pulau Melaka.