Tumpuan :
Negeri

KPDNHEP Saran Pemain Sektor Peruncitan Ketengah Produk Tempatan

KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyarankan agar lebih banyak pemain sektor peruncitan mengetengahkan produk tempatan, sekali gus membantu mengembangkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Azman Mohd Yusof berkata langkah itu turut membantu menjayakan agenda kerajaan terutama dalam Kempen Beli Barangan Malaysia.

“Sudah tentu ia juga akan memberi petanda baik dalam mengaktifkan semula ekonomi masyarakat, khususnya mereka yang terlibat dalam PMKS,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penjenamaan semula pasar raya Ameen Hallmart dekat sini, hari ini.

Katanya, barangan keluaran tempatan juga berkualiti dan dijual pada harga yang kompetitif, selain dijamin halal.

Sementara itu, Azman berkata keterlibatan sektor peruncitan dalam program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) dapat membantu mengetengahkan usaha kerajaan membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan dengan harga yang lebih murah.

“Untuk kurangkan kos penganjuran JMKM, kita gunakan fasiliti sedia ada contohnya pasar raya untuk laksanakan jualan murah.

“Selain peruncit kurangkan harga, insentif kerajaan pun ada sebab kerajaan ambil berat keresahan orang ramai berkaitan harga barangan yang tinggi,” katanya.

Azman berkata pihaknya yakin pasar raya seperti Ameen Hallmart mampu menjadi platform contoh untuk Kempen Beli Barangan Malaysia dan menjadi salah satu rakan strategik program JMKM di negeri ini.

Beliau berkata penjenamaan semula perniagaan peruncitan juga berupaya menjadikan sektor itu lebih kompetitif dengan menawarkan lebih banyak barangan keperluan. – BERNAMA

Loading...
Terkini