comscore
Tumpuan :
Negeri

Kawasan perumahan didatangi 3 ekor gajah

KLUANG: Tiga ekor gajah mengamuk dengan merosakkan harta benda dan tanaman penduduk di kawasan perumahan Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) Batu 17, Jalan Mersing dalam kejadian kira-kira tiga pagi hari ini.

Menurut salah seorang penduduk, Azmi Abd Hamid, 52, sudah lebih lima kali menghadapi gangguan gajah sepanjang 18 tahun menduduki perumahan berkenaan dengan kali terakhir pada Disember lalu.

“Saya, isteri berusia 49 tahun dan anak lelaki berusia 22 tahun sedang menonton perlawanan bola sepak di televisyen ketika kejadian.

“Mula-mula isteri terdengar sesuatu bunyi di depan rumah dan memeriksanya lalu mendapati ada tiga ekor gajah berlegar-legar di depan rumah.

“Ini kali pertama berlaku serangan gajah terhadap harta benda penduduk kerana sebelum ini haiwan ini hanya sekadar datang untuk makan dan pergi selepas itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azmi berkata, dalam kejadian yang berakhir kira-kira lima pagi itu, beberapa kenderaan penduduk termasuk motosikal dan kereta selain tong sampah penduduk diselongkar serta dipijak gajah berkenaan.

“ ‘Spoiler’ Perodua Myvi anak saya dipatahkan, motosikal saya dan jiran ditumbangkan, cermin belakang Perodua Myvi jiran dipecahkan dan sisi kereta Proton Saga jiran dikemekkan gajah berkenaan.

“Ada beberapa tong sampah penduduk diselongkar dengan salah satunya pecah dipijak gajah.

“Kawanan gajah ini berlegar di sekeliling rumah penduduk untuk makan tanaman penduduk termasuk pokok pisang dan kelapa,” katanya.

Azmi berkata, ini adalah hari kedua haiwan itu datang ke perumahan berkenaan dan menjangkakan kumpulan sama akan datang lagi pada malam ini sehingga selesai mencari makanan yang ada.

“Kami hairan gajah yang dianggarkan berusia remaja itu bertindak sedemikian dan bimbang jika gajah ini naik minyak hingga mengancam nyawa penduduk.

“Penduduk memang maklum sifat gajah yang pendendam jika dikacau dan memang kami tidak pernah memaki hamun haiwan ini pun,” katanya.

Dalam pada itu, Sementara itu, Pengarah Perhilitan Johor, Aminuddin Jamin berkata, pihaknya akan menghantar pasukan petugas bagi membuat pemantauan dan kawalan terhadap kumpulan gajah berkenaan selama beberapa hari.

“Kita akan melihat sama ada mitigasi haiwan ini sekadar lalu atau bergerak di lokasi kejadian atau ke tempat lain,” katanya.

Loading...
Terkini