KUALA LUMPUR: Kadar pengangguran negara kekal di paras 3.7 peratus pada Ogos 2022 berbanding bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
DOSM dalam kenyataan hari ini bagaimanapun berkata bilangan penganggur mencatatkan pengurangan 1.4 peratus kepada 612,000 orang pada Ogos berbanding 620,700 orang pada bulan sebelumnya.
Menurut kenyataan berkenaan kedudukan tenaga buruh pada Ogos ialah 16.63 juta berbanding 16.60 juta pada bulan sebelumnya.
Menurut DOSM, penduduk bekerja pada Ogos tahun ini ialah 16.02 juta orang berbanding 15.98 juta orang pada Julai.
Komposisi terbesar penduduk bekerja adalah kategori pekerja sebanyak 76 peratus, bekerja sendiri (17.5 peratus), majikan (3.4 peratus) dan pekerja keluarga tanpa gaji (3.1 peratus), katanya.
Sementara itu, bilangan penganggur aktif yang direkodkan pada Ogos berkurangan dua peratus iaitu sebanyak 507,300 orang berbanding 517,400 orang pada bulan sebelumnya.
Bagi bilangan luar tenaga buruh mencatatkan penurunan 0.1 peratus kepada 7.24 juta orang pada Ogos berbanding 7.25 juta pada Julai, dengan komposisi terbesar adalah kerja rumah atau tanggungjawab keluarga sebanyak 42.9 peratus.
Luar tenaga buruh merujuk kepada orang yang tidak dikelaskan sebagai bekerja atau menganggur termasuklah suri rumah, pelajar, pesara dan individu yang tidak berminat mencari pekerjaan manakala penganggur aktif adalah mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan. – BERNAMA