comscore
Tumpuan :
Negeri

Johor buat tindakan pencegahan penganjuran pesta buih

Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor akan melakukan tindakan pencegahan terhadap penganjuran pesta buih yang bakal diadakan di kolam renang sebuah hotel di bandar raya ini, esok.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) telah membuat semakan dengan Pejabat Daerah Johor Bahru dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan mendapati acara tersebut tidak mendapat permit kebenaran.

Menurutnya setakat ini, pihak hotel memaklumkan akan membatalkan penganjuran acara tersebut.

“Satu pemantauan berterusan akan dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan JAINJ bagi memastikan ketenteraman dan keharmonian masyarakat serta sensitiviti agama dan budaya kekal terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Fared berkata pihaknya difahamkan acara itu akan melibatkan percampuran bebas antara lelaki dan wanita selain pelanggan turut dihidangkan dengan minuman keras dan mengenakan pakaian yang mencolok mata.

“Dikhuatiri acara tersebut akan dihadiri oleh pelanggan yang beragama Islam, maka satu tindakan pencegahan perlu dilakukan. Tambahan lagi, acara tersebut dianjurkan oleh pihak yang bukan warganegara Malaysia,” katanya.

Beliau berkata tindakan penguatkuasaan mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor akan digerakkan sekiranya acara seumpama itu diteruskan.

Terdahulu, Mohd Fared dilaporkan berkata JAINJ berjaya menggagalkan penganjuran pesta buih itu selepas menerima aduan orang awam susulan jemputan ke parti tertutup itu tular menerusi media sosial.

Datuk Bandar MBJB, Datuk Mohd Noorazam Osman dilapor berkata pihaknya tidak dimaklumkan mengenai penganjuran pesta buih itu selain tiada permohonan permit penganjuran dibuat pihak berkaitan. -BERNAMA

Loading...
Terkini