Oleh Kumaran Rajamoney
LANGKAWI: Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah mencadangkan suara kerajaan negeri diperkasakan di Dewan Negara dengan penambahan bilangan ahli dipilih oleh negeri.
Titah baginda, Fasal (4) Perkara 45 Perlembagaan Malaysia menetapkan Parlimen melalui undang-undang menambah bilangan ahli, yang dipilih oleh negeri daripada dua menjadi tiga, dan mengurangkan bilangan ahli yang dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong.
Namun, setakat ini, perkara itu tidak pernah diteliti dan dilaksanakan.
“Perenggan (a) dalam peruntukan tersebut, secara khususnya memperuntukan penambahan bilangan ahli yang dipilih oleh Negeri, daripada dua menjadi tiga.”
“Peruntukan tersebut adalah selaras dengan semangat perlembagaan seperti yang dicadangkan oleh Laporan Suruhanjaya Reid, bertujuan untuk mengimbangi Parlimen melalui Dewan Negara, yang membawa suara daripada negeri,” titah baginda.
Sultan Sallehuddin percaya peranan Dewan Negara perlu diperkasakan semula, agar suara negeri yang membentuk persekutuan Malaysia lebih didengari di Parlimen, dan terus berperanan mengimbangi fungsi Dewan Rakyat.
“Beta berharap agar cadangan ini boleh dipertimbangkan dan diteliti untuk diimplementasi di masa hadapan,” titah baginda merasmikan Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri se-Malaysia Tahun 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi, di sini.
Turut berangkat pada majlis perasmian ini, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin, dan dihadiri Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md. Nor, Yang diPertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, dan Speker Dewan Undangan Negeri Kedah, Datuk Juhari Bulat.
Untuk rekod, tiga kertas kerja dibentangkan dalam persidangan ini iaitu Pengenalan Sistem Jawatankuasa Pilihan Khas di Dewan Rakyat, Cadangan Penubuhan Bahagian Penyelidikan di Dewan Undangan dan Bangun Membina Perubahan Bekekalan di Malaysia.