PUTRAJAYA: Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) fasa dua yang memfokuskan kepada memproses sisa domestik dan pukal, akan dibina bersebelahan FIKS fasa satu di Presint 20 di sini, tahun depan, dengan membabitkan kos kira-kira RM50 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd, Datuk Mohd Zain Hassan, berkata FIKS fasa dua akan dilengkapi teknologi insinerator dan dijangka mula beroperasi pada 2025, ketika pusat tapak pelupusan sampah Tanjung Dua Belas, Kuala Langat tidak boleh menerima lagi sampah dari Putrajaya.
“Fasa kedua ini penting untuk kita laksanakan, apa sahaja sampah yang terhasil di Putrajaya biarlah diproses di Putrajaya. Maklumlah kalau lori kami pergi ke tapak pelupusan ia juga menghasilkan karbon jadi kita nak hentikan semua itu,” katanya kepada pemberita selepas Program Waste is Amazing: Upcycling Competition 2022 di sini, hari ini.
Mohd Zain berkata, FIKS fasa dua sedang melalui proses Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA) sebelum pembinaannya dijalankan.
Beliau berkata, FIKS fasa satu yang mula beroperasi pada 2020 hanya menerima sisa buangan kering seperti kertas, kad bod dan plastik, dan menerima di antara 80 dan 92 tan kertas sehari yang dihasilkan penduduk dan perusahaan komersial di kawasan sekitar.
“Di Putrajaya, partisipasinya (kitar semula) memang tinggi dan pada masa sama Putrajaya juga mempunyai beberapa pusat pembelian barangan kitar semula yang menerima banyak sisa-sisa daripada sekitar penduduk Putrajaya dan daripada (perusahaan) komersial sekitar Putrajaya,” katanya.
Sementara itu, Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud berkata kadar kitar semula Putrajaya pada masa ini adalah kira-kira 16 peratus dan dijangka mencecah 40 peratus menjelang 2025.– BERNAMA