comscore
Tumpuan :
Negeri

“Berhibur Pun Ada Batasnya’ – Menteri Agama

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad

BAGAN SERAI: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad membidas pihak yang mempertikai bantahan dibuat Pemuda PAS berhubung penganjuran konsert antarabangsa di negara ini.

Menurut beliau, Islam tidak melarang hiburan atau anti sosial, namun mempunyai batas tersendiri.

“Kena ingat nak berhibur ada hadnya. Sama seperti makan dan minum, apa yang boleh kita ikutlah. Hiburan pun sama, bukan semua benda kita boleh bebas,” katanya ditemui media selepas menyampaikan bantuan banjir kepada 11 keluarga di Dewan Kampung Air Kuning, Cangkat Jering di sini, hari ini.

Tindakan Pemuda PAS yang membantah penganjuran konsert antarabangsa di Malaysia dipertikai pihak tertentu yang menganggap soal hiburan adalah hak masing-masing.

Bagaimanapun Idris menasihatkan pihak yang mempertikaikan tindakan itu supaya tidak bercakap hanya sekadar bercakap.

“Jangan bercakap (soal kebebasan) ikut selera mulut sahaja. Jangan anggap semua benda boleh bebas, jika nak semua bebas maka kita tak perlu ada undang-undang,” katanya.

Dalam perkembangan lain Idris menegaskan kerajaan tidak berdiam atau menutup mata tentang isu pusat penyembelihan di Australia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui pasukan audit halal akan ke negara berkenaan dalam kadar segera untuk audit siasatan.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini