Tumpuan :
Negeri

Bekenu Dilanda Banjir

FOTO: FB Lukanisman Awang Sauni

KUCHING: Hujan berterusan sejak malam tadi menyebabkan banjir melanda beberapa perkampungan di Bekenu, Miri, hari ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, air mula menenggelami jalan raya di sesetengah kawasan terbabit sejak jam 8 pagi tadi.

Katanya, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) cuba pergi ke Kampung Subak, iaitu antara lokasi dilanda banjir di Bekenu, namun jalan raya tidak dapat dilalui kenderaan.

“Air naik mencecah hampir satu meter menyebabkan kenderaan tidak dapat melalui beberapa kawasan.

“Bagaimanapun setakat jam 2.15 petang, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni, dalam hantaran melalui Facebook memaklumkan tinjauannya ke Kampung Subak mendapati beberapa rumah dimasuki air.

Malah, beliau berkata, dewan dan balai raya di kampung itu turut dinaiki air mencecah paras sekurang-kurang 0.5 meter.

“Jalan di sekitar Kampung Terahad dan Kampung Padang juga ditenggelami air menyebabkan kenderaan kecil sukar melaluinya.

“Saya turut menerima laporan daripada beberapa guru bahawa air mula memasuki kawasan sekolah,” katanya. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini