GERIK: Lebih 40 pelajar Kolej Matrikulasi Kedah (KMK) Changlun, Kedah berdepan detik cemas apabila bas persiaran dinaiki mereka terbakar di KM39.5 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berdekatan Banding, di sini, petang tadi.
Difahamkan, bas dengan seorang pemandu serta 44 pelajar kolej dalam perjalanan dari Kelantan ke kolej terbabit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, Azizan Aziz, berkata kebakaran memusnahkan 85 peratus bas berkenaan namun tiada mangsa cedera dalam insiden itu memandangkan kesemua yang berada dalam bas sempat keluar menyelamatkan diri.
Katanya, panggilan kecemasan berhubung kejadian diterima jam 2.05 petang tadi dengan anggotanya digerakkan ke lokasi bagi operasi menyelamat.
“Anggota bomba menggunakan dua aliran pancutan bersumberkan jentera bomba untuk memadamkan api sepenuhnya.
“Anggota turut bertindak membuat ‘overhaul’ tempat kejadian bagi memastikan tiada lagi unsur yang boleh menyebabkan kebakaran berulang,” katanya sewaktu dihubungi hari ini.
Menurutnya lagi, oeprasi tamat jam 3.48 petang dengan punca kebakaran masih dalam siasatan. – BERITA HARIAN