Oleh Zahir Senapiah
BATU PAHAT: Penduduk di lima kawasan di Sri Gading membuat satu laporan polis yang menggesa siasatan dijalankan samada berlaku salah urus tadbir pihak berkuasa tempatan (PBT) hingga menyebabkan banjir terus melanda kawasan mereka.
Wakil penduduk Syed Salim Eidzah berkata, masalah banjir kilat itu antara lain berpunca daripada sistem perparitan di kampung terbabit yang gagal diselenggara dengan baik.
Dakwanya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang melawat kampung berkenaan ketika banjir pada tahun 2006, pernah menegur PBT agar mengambil langkah perlu bagi mengatasi isu banjir kilat.
Malangnya hingga kini tiada tindakan diambil oleh PBT terbabit.
Justeru, penduduk membuat laporan di Balai Polis Sri Gading jam 9.30 pagi tadi menggesa pihak polis serta agensi berkaitan menyiasat sama ada berlakunya salah urus tadbir jabatan berkaitan hingga menyebabkan isu banjir kilat terus berlaku.
“Kita tidak menghalang pembangunan saya pun suka pembangunan tetapi pembangunan yang dibuat tetapi kapasiti yang dibuat seolah olah tak ada perancangan, jadi saya berharap pihak berwajib ambil tindakan agar perkara begini berulang” katanya.
Dalam pada itu, tinjauan mendapati sebahagian besar kediaman penduduk masih digenangi banjir termenung meskipun cuaca panas sejak tiga hari lalu.
Ketua Kampung Sri gading, Shahrudin Abu berkata, cuaca panas sejak tiga hari lalu, namun air banjir tidak surut sehingga menyebabkan beberapa rumah mengalami air bertakung.
M. Segaran pula mendakwa banjir kali ini paling buruk pernah dialami dan meminta PBT buat sesuatu agar mereka tidak terus menjadi mangsa.
Tambahnya, ramai yang terpaksa menanggung kerugian akibat kerosakan pelbagai harta benda terutama peralatan elektrik dan sebagainya.
Hingga lewat petang tadi, seramai 213 orang mangsa daripada 57 keluarga masih berada di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Sri Gading.
Mereka adalah penduduk dari Taman Sri Panchor, Kampung Sengkuang, Kampung Baru Sri Gading dan Pekan Seri Gading dejak Rabu Lalu.