comscore
Tumpuan :
Nasional

Anak Penyu Berkepala Dua Masih Hidup

DUNGUN: Anak penyu agar berkepala dua yang ditemui di Pusat Pengeraman Telur di Pantai Tanjung Jara pada 30 Ogos lalu, hidup sihat dan kini dijaga rapi di Pusat Penerangan Penyu di Rantau Abang.

Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat, berkata anak penyu terbabit diletakkan dalam sebuah akuarium dengan diberi makan ikan segar dan pihaknya berharap reptilia itu dapat hidup lebih lama serta membesar sihat sebelum dilepaskan semula ke laut.

“Ini kes kelima anak penyu ditemui di Terengganu, namun empat sebelum ini mati dalam tempoh singkat. Hanya seekor yang ditemui di Pulau Perhentian hidup sekitar setahun enam bulan, namun akhirnya mati juga,” katanya.

Bercakap demikian selepas merasmikan majlis melepaskan 300 anak penyu di Pantai Seberang Pintasan, di sini petang semalam, Ruzaidi berkata, pihaknya menjangkakan pendaratan penyu agar di seluruh pantai di negeri ini meningkat melebih 7,000 pada tahun ini.

“Kita menjangkakan lebih 600,000 telur ditetaskan sebelum ketibaan musim tengkujuh nanti. Tahun lalu, sebanyak 7,229 pendaratan penyu agar direkodkan yang menghasilkan 593,396 telur.

“Penyu karah mencatatkan lapan pendaratan dan menghasilkan 774 telur, manakala tuntung laut mencatatkan 305 pendaratan dengan 3,160 telur,”katanya.

Katanya, pindaan Enakmen Penyu Terengganu 1951 berkuat kuasa pada Jun lalu yang melarang penjualan semua spesies telur penyu mampu menyaksikan lebih banyak anak penyu ditetaskan.

“Kita tidak mahu berlaku seperti apa yang menimpa penyu belimbing yang tidak lagi mendarat di pantai Terengganu. Kita juga giat melakukan operasi membanteras penggunaan pukat pari yang boleh menjadi penyebab kematian penyu yang serius di negeri ini.

“Dalam operasi sebelum ini, kita merampas 37 pukat pari di Dungun dan Kemaman. Nelayan pantai yang guna pukat pari boleh didakwa mengikut Akta Perikanan 1985 dan boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 dan penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan,”katanya.

Ruzaidi berkata, program pelepasan anak penyu dengan kerjasama pelbagai pihak dan agensi kebelakangan ini mendapat sambutan mengalakkan daripada orang ramai.

“Kebanyakan mereka yang hadir adalah anak-anak kecil, sekali gus mereka dapat dididik mencintai penyu. Kita berharap lebih banyak syarikat bekerjasama dalam program pemuliharaan penyu untuk mempertingkatkan aktiviti pelancongan,” katanya. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini