comscore
Tumpuan :
Negeri

Ahmad Dzaffir Kini Ketua Polis Negeri Sembilan

Foto: HARIAN METRO

Seremban: Bekas Komandan Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur, Deputi Komisioner Polis (DCP) Ahmad Dzaffir Mohd Yussof dilantik sebagai Ketua Polis Negeri Sembilan yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Datuk Ruslan Khalid yang bersara selepas menjawat jawatan berkenaan pada 22 April lalu.

Ahmad Dzaffir pernah memegang jawatan sebagai Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) (Perundangan) PDRM dan Urusetia Pejabat KPN Bukit Aman sebelum dipindahkan ke Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur.

Majlis serah terima tugas di antara mereka berlangsung di Dewan Utama, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan disaksikan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad.

Pada majlis sama turut berlangsung majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Negeri Sembilan antara Datin Rohayah Harun dengan Deputi Superintendan Erny Yusnida Che Yusoff.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner, Abd Khalid Othman.

Ahmad Dzaffir, 52, dilahirkan di Seremban dan menyertai PDRM selama 31 tahun.

Katanya, beliau berharap dapat menjalankan tugas dengan amanah dan baik selain memastikan kelancaran pentadbiran serta meneruskan kepimpinan terdahulu dengan penuh kredibiliti.

“Fokus saya adalah seperti mana sama dengan fokus Ketua Polis Negara iaitu memperkasakan integriti, meningkatkan lagi penyampaian perkhidmatan dan mendokong dasar kerajaan untuk kesejahteraan masyarakat.

“Di samping itu juga, bagi diri saya sendiri misi penting ialah untuk membanteras segala jenis aktiviti bersindiket seperti perjudian, dadah dan sindiket scam.

“Scam adalah trend yang terkini sejak Covid-19 dan ramai jadi mangsa sindiket yang membabitkan kerugian berjuta-juta ringgit. Itu menjadi fokus utama saya,” katanya.-HARIAN METRO

Loading...
Terkini