Tumpuan :
Nasional

Zuraida maklum perlu tandatangan bon RM10 juta

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Bekas Naib Presiden PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin sememangnya maklum bahawa setiap ahli parti yang menang pilihan raya umum perlu menandatangani bon yang menghendaki mereka membayar RM10 juta jika meletak jawatan, bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Jelasnya, Zuraida sendiri telah hadir sebagai naib presiden parti dan ahli Biro Politik parti pada mesyuarat bertarikh 17 April 2018 yang membincangkan mengenai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Jelasnya dalam prosiding hari ini, Saifuddin berkata, ketika mesyuarat Biro Politik itu, beliau memaklumkan bahawa Pejabat Setiausaha Agung sudah menyediakan “Kit Calon” yang mengandungi antara lain, ikatan bon yang perlu ditandatangani semua calon sebelum menerima watikah daripada parti.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata Zuraida mengambil maklum mengenai keperluan untuk menandatangani ikatan bon sekiranya ingin bertanding dalam PRU14 atas tiket PKR dan tidak pernah membangkitkan bantahan terhadapnya.

“Sebaliknya, defendan (Zuraida) bersetuju dengan keperluan untuk menetapkan terma dan syarat seperti dinyatakan dalam ikatan bon bagi mengawal tingkah laku setiap calon yang ingin bertanding atas tiket dan sokongan parti,” katanya.

Saifuddin yang juga saksi pertama PKR selaku plaintif, berkata demikian melalui pernyataan saksinya pada perbicaraan saman yang difailkan parti itu terhadap Zuraida pada 28 September 2020 dengan mendakwa beliau melanggar syarat bon yang mengikatnya kepada parti.

Dalam saman itu PKR mendakwa Zuraida bersetuju membayar parti sejumlah RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya seperti meletak jawatan dalam parti atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Ia mendakwa, pada atau sekitar 24 Februari 2021, Zuraida dalam satu kenyataan bersama 10 Ahli Parlimen PKR yang lain mengumumkan peletakan jawatan namun beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Ampang iaitu kerusi yang dimenanginya atas tiket PKR dan seterusnya membentuk blok baharu dikenali sebagai Perikatan Nasional.

PKR dengan itu menuntut Zuraida membayar RM12,049,459.20 mengikut Seksyen 71 Akta Kontrak, faedah lima peratus setahun, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, Saifuddin berkata Zuraida tidak akan akan dipilih sebagai Ahli Parlimen Ampang dan kemudian dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, yang membolehkannya menikmati imbuhan lumayan tanpa kebenaran parti itu untuk menggunakan jenama, nama baik dan sokongan ahlinya.

Beliau berkata, semua itu tidak diberikan secara percuma, sebaliknya Zuraida dijangka untuk membayar balik dengan menjalankan tugas sebagai seorang ahli parlimen dan menteri atas nama PKR bagi melaksanakan agenda parti.

“Berikutan pembelotan itu, parti kehilangan kelebihan mempunyai seorang ahli parlimen di Dewan Rakyat, dan seorang menteri kabinet.

“Sedangkan defendan yang enggan meletak jawatan terus menikmati faedah sebagai Ahli Parlimen dan menteri di bawah parti BERSATU dan Perikatan Nasional (PN).

“Justeru, adalah tidak adil untuk defendan kekal menikmati faedah berkenaan, yang tidak akan dinikmatinya jika bukan dengan perkhidmatan dan nama baik daripada PKR,” katanya.

Peguam Navpreet Singh yang mewakili PKR ketika dihubungi media, mengesahkan Saifuddin membaca dan menandatangani pernyataan saksi berkenaan.

Katanya, perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir secara dalam talian bersambung esok.

Loading...
Terkini