PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menyerahkan 417 kotak keratan ayam sejuk beku seberat 5,004 kilogram (kg) yang dilucut hak kepada Zoo Negara semalam.
Ketua Pengarah MAQIS, Shamsul Akbar Sulaiman berkata, penyerahan barangan berupa keratan ayam sejuk beku yang bernilai RM 42,023 itu untuk dijadikan sebagai makanan kepada haiwan-haiwan di Zoo Negara.
Katanya, bahan mentah terbabit adalah hasil sitaan pengimportan haiwan yang telah dilucut hak kerana tidak mematuhi aspek perundangan Seksyen 11(1) dan Seksyen 13 di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
“MAQIS berharap penyerahan ini dapat menampung kos bekalan bahan mentah untuk dijadikan makanan kepada haiwan-haiwan yang terdapat di Zoo Negara,” katanya melalui kenyataan.
Untuk rekod, pada 2024 MAQIS telah membuat serahan melebihi 91,737 kg dengan nilai anggaran RM835,713 kepada pelbagai agensi serta pihak yang memerlukan.
Shamsul Akbar berkata, tindakan itu adalah salah satu daripada kaedah pelupusan hasilan haiwan yang disita dan telah dilucut hak.
Katanya, MAQIS tidak akan berkompromi terhadap ketidakpatuhan terutamanya membabitkan isu biosekuriti.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.