Tumpuan :
Nasional

Zii Jia, Perly Tan antara 240 penerima anugerah sempena Keputeraan Sultan Kedah Ke-80

Istiadat Penganugerahan Darjah-Darjah, Bintang-Bintang dan Pingat-Pingat Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-80 di Balairung Seri Besar, Istana Anak Bukit, hari ini.

ALOR SETAR: Pemain badminton kebangsaan, Lee Zii Jia dan Perly Tan Koong Le, mendahului senarai 240 orang penerima anugerah sempena Istiadat Penganugerahan Darjah-Darjah, Bintang-Bintang dan Pingat-Pingat Kebesaran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-80.

Kedua-dua mereka yang dianugerahkan Ahli Cemerlang Semangat Jerai Kedah (ASK), bagaimanapun tidak hadir kerana kini berada di luar negara.

Seramai 110 orang Penerima Darjah-Darjah, Bintang-Bintang dan Pingat-Pingat Kebesaran bagi Tahun 2021.

Tengku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin menyempurnakan Penganugerahan Darjah-Darjah, Bintang-Bintang dan Pingat-Pingat di Balairung Seri Besar, Istana Anak Bukit.

Turut berangkat sama, Tunku Puan Mahkota Kedah, Che Puan Nur Julie Ariff.

Wartawan TV3 yang juga Presiden Kelab Media Elit Kedah (KMEK), Kumaran Rajamoney dan Ketua Wartawan Sinar Harian, Roslinda Hashim pula merupakan antara 29 penerima yang dianugerahkan Bintang Kebaktian Masyarakat (BKM).

Selain itu, 41 orang menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK); 22 orang menerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang Kedah (PCK); dan 15 orang menerima Pingat Perkhidmatan Lama (PPL).

Sementara itu, 130 orang menerima Darjah-Darjah, Bintang-Bintang dan Pingat-Pingat Kebesaran bagi Tahun 2022.

Daripada jumlah itu, 41 orang menerima BKM, 4 orang menerima ASK, 26 orang menerima PJK, 41 orang menerima PCK, dan 18 orang menerima PPL.

Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Norizan Khazali.

Loading...
Terkini