Tumpuan :
Nasional

Ziana Zain, Jalaluddin Hassan, Dr Sheikh Muszaphar hadir ke SPRM untuk dirakam keterangan

Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya.

PUTRAJAYA: Tiga selebriti hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram menerusi Op Sky membabitkan syarikat perunding kewangan.

Menurut sumber, tiga selebriti itu terdiri daripada Datuk Jalaluddin Hassan, Siti Roziana Zain atau lebih dikenali Ziana Zain dan Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha.

Ketiga-tiga selebriti itu hadir jam 9.30 pagi mengikut pintu masuk jalan belakang Ibu Pejabat SPRM.

Tinjauan di pintu masuk pagar hadapan pejabat SPRM mendapati lebih 10 pengamal media berkumpul sejak jam 9 pagi bagi membuat liputan namun merasa hampa selepas dilaporkan ketiga-tiga selebriti itu dibawa masuk melalui pintu pagar belakang.

Media semalam melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tiga individu terbabit dijangka hadir di Ibu Pejabat SPRM pada jam 10 pagi.

Menurutnya, SPRM akan merakam keterangan tiga selebriti termasuk penyanyi terkenal esok, bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram menerusi Op Sky membabitkan syarikat perunding kewangan.

Katanya, ini tidak bermakna mereka dianggap sebagai suspek. Keterangan mereka diperlukan bagi melengkapkan kertas siasatan.

Terdahulu dilaporkan, siasatan mendapati selebriti dan artis terbabit menerima wang bayaran hingga RM400,000 untuk tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat itu bagi tujuan promosi.

SPRM baru-baru ini menumpaskan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan serta pegawai bank di beberapa institusi kewangan menerusi Op Sky.

Seramai 12 individu ditahan dalam serbuan oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) di 24 lokasi termasuk kediaman dan pejabat di sekitar Lembah Klang pada Isnin lalu.

Setakat ini, 27 individu ditahan termasuk 18 pegawai bank, lapan petugas syarikat perunding kewangan terbabit serta satu orang awam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini