comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Zayn dilihat masuk hutan?

 

Oleh: Aslina Abu Bakar

PETALING JAYA: Kehilangan kanak-kanak lelaki autisme berusia enam tahun, Zayn Rayyan Abdul Matiin, bapa kepada kanak-kanak itu memberitahu kali terakhir dilihat oleh kanak-kanak di sekitar rumah mereka pada jam 5 petang semalam.

Tetapi Zayn terus melarikan diri dan masuk ke dalam hutan berhampiran.

Ketika ditemui di apartmennya di Damansara Damai, bapa Zayn berkata anaknya seorang yang hyperaktif dan pernah cuba melarikan diri tetapi bertujuan untuk bermain sahaja.

Jelasnya sebaik mendapat panggilan telefon daripada isteri mengenai kehilangan anak sulungnya itu dia terus bergegas pulang dan membuat laporan polis.

“Rutin biasa emaknya ambik Zayn daripada sekolah sebelum naik atas rumah akan singgah main buaian ke apa, main taman sebab kalau dia tak singgah dia akan mengamuk.

“Jadi lepas mak dia layan dia main buaian tu baru mood dia okay dan boleh naiklah, tapi setelah naik tangga pertama dia okay tapi selepas hendak naik ke tingkat satu, dia hilang,” katanya ketika ditemui Buletin TV3.

Usaha mencari anaknya diteruskan dengan bantuan penduduk dan unit anjing pengesan K9.

Ismanira Abdul Manaf

Ibu, Ismanira Abdul Manaf berkata sebelum kejadian dia mengambil anaknya di Sekolah Kebangsaan Damansara Damai 2 dan pulang ke rumah.

Sebaik tiba di kawasan perumahan anaknya tiba-tiba meragam dan mahu bermain buaian di taman permainan.

“Biasanya pernah selalu jugak macam tu dia bergegas tidak mahu masuk rumah tapi apabila kita paks,a jadi dia akan ikut sahaja takde macam nak pergi jauh jauh lari-lari.

“Tapi kali ni bila saya naik bergegas, mula-mula saya perasan macam dia ada je kat belakang saya, tidak sangka la dia nak lari, saya toleh saya baru naik sampai separuh tangga saya toleh belakang eh, mana senyap je saya panggil-panggil dia tidak ada, jejak kaki tak dengar suara pun tak dengar apa apa,” katanya.

Selepas menyedari anaknya hilang, Ismanira terus mencari di kawasan sekitar tetapi gagal.

Bagaimanapun naluri seorang ibu, Ismanira yakin anaknya masih berada di kawasan perumahan dan berharap ada individu menemuinya membantu membawanya pulang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Fakhrudin Abdul Hamid ketika dihubungi berkata siasatan mendapati tiada unsur jenayah dikaitkan dalam kes kehilangan Zayn.

Polis masih mengesan kanak-kanak terbabit dengan bantuan unit K9.

Pakaian terakhir mangsa berbaju t-shirt putih berkolar dengan lencana SK Damansara Damai 2 serta seluar sukan dan kasut sekolah berwarna hitam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya di talian 03-7966 2222.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini