KUALA LUMPUR: Pelbagai isu yang sedang membelenggu pasukan Kelantan FC bakal dijawab pemilik pasukan, Norizam Tukiman dalam satu majlis jamuan makan bersama penyokong, Sabtu ini.
Usahawan yang lebih mesra disapa Zamsaham itu mengesahkan menerusi akaun Facebooknya yang dia sedia bertemu penyokong ‘The Red Warriors’ di Kota Bharu.
Jelasnya, majlis terbabit dirancang untuk dilangsungkan pada bulan Syawal namun timbul kekangan sehingga hanya dapat dilakukan pada hujung minggu ini.
“Pada 3 Jun 2023 ini boleh hadir ke Zamburger Kelantan di Kota Bharu. Saya buat jamuan makan sambil bertemu dengan semua peminat TRW Kelantan FC. Masa jam 2 hingga 5 petang.
“Saya mohon maaf kerana jadual nak buat awal masa raya tak tercapai kerana saya hadir EXPO halal di Kanada. Insya-Allah semua yang berkelapangan hadir pada 3 Jun 2023, Sabtu di Zamburger Kelantan, Kota Bharu.
“Ada ruangan sesi soal jawab. Jemput semua hadir,” kata Zamsaham.
Terdahulu, selepas bekas jurulatih, Choi Moon Sik dan ejennya, Myeongho Jeong mendedahkan situasi ‘di belakang tabir’ pasukan ini, ia terus berdepan tamparan hebat apabila tiba giliran pemainnya pula melakukan perkara sama.
Penjaga gol pasukan itu, Farhan Abu Bakar mendedahkan kepincangan dalam pasukan naib juara Liga Perdana musim lalu itu yang disifatkan tidak berperikemanusiaan.
Penjaga gol kebangsaan itu mengakui hairan kerana perlu meminta wang pendahuluan sedangkan pasukan itu sedang berdepan tunggakan gaji bagi April.
Selain itu, Farhan turut berkongsi audio perbualan di laman media sosialnya dipercayai antara bekas pemain atau jurulatih dengan pengurusan pasukan terbabit.
Dalam audio berkenaan, individu dipercayai wakil pengurusan menghamburkan kata-kata kurang enak selepas bekas pemain atau jurulatih itu meminta gajinya.