Tumpuan :
Nasional

Zambry kecam pelawak melampau perlekeh Malaysia, tragedi MH370


Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA:  Mengecam tindakan pelawak wanita, Jocelyn Chia yang secara jelas memperlekeh Malaysia dan mempersenda tragedi yang pernah melanda negara.

Sambil meluahkan kekesalan terhadap perkara itu, Zambry berkata, tindakan Chia langsung tidak menunjukkan rasa sensitiviti dan empati terhadap rakyat Malaysia serta keluarga mangsa. 

“Saya percaya ini bukanlah pendirian atau tindakan yang diterima oleh mana-mana negara apatah lagi menggambarkan pendirian rasmi mana-mana kerajaan.

“Saya berharap sebarang bentuk tindakan atau cubaan seperti ini dapat dihentikan bagi memastikan rasa hormat pada mana-mana negara terus dipelihara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Chia melalui klip video dimuat naik menerusi akaun Tiktok bertindak keterlaluan memperlekeh Malaysia dalam satu persembahan komedi berdiri ‘Singapore vs Malaysia’ yang dipercayai diadakan di Manhattan, New York, baru-baru ini.

Sepanjang rakaman video berdurasi 1 minit 29 saat itu, Chia turut membandingkan Malaysia yang hanya bertaraf negara membangun berbanding Singapura lebih maju selepas lebih 40 tahun berpisah dari Tanah Melayu.

Wanita berkenaan turut menggunakan tragedi kehilangan pesawat Malaysia, MH370 sebagai modal jenaka sehingga menimbulkan kemarahan warganet.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, video tersebut juga jelas menggambarkan perilaku yang sangat bertentangan dengan nilai-nilai ketimuran negara Asia yang sememangnya terkenal dengan adab dan tatasusila.

Sementara itu, Kerajaan Singapura memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berikutan tindakan melampau pelawak yang dikatakan berasal dari republik berkenaan.

Menurut Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon, pihaknya tidak boleh menerima sebarang kata-kata atau tindakan yang boleh mencetuskan kemudaratan atau menyinggung perasaan orang lain.

“Chia, yang tidak lagi memegang kewarganegaraan Singapura, sama sekali tidak mencerminkan pandangan kami. Saya dengan ikhlas memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas kata-kata yang menyakitkan daripada dia.

“Komen-komen yang dibuat oleh Chia tidak membantu dan merosakkan kepercayaan serta persahabatan rapat yang dinikmati kedua-dua negara dan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook.

Loading...
Terkini