Tumpuan :
Nasional

‘Zamani ditidurkan, pembedahan besar pertama dilalui’

Zamani memerlukan rehat sehingga tiga bulan sebelum kembali bekerja. – FOTO NSTP

KUALA LUMPUR: Penyanyi Zamani Ibrahim, 51, sudah mempersiapkan diri untuk menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung akibat penyakit skoliosis di sebuah pusat perubatan swasta di Cheras pada 7 November ini.

Zamani berkata, persediaan mental adalah perkara paling utama dititik beratkan berikutan pembedahan besar. Kali terakhir, dia pernah melakukan pembedahan membuang batu karang, kira-kira 20 tahun lalu.

“Perasaan takut tetap ada, tetapi bukanlah disebabkan bimbang perkara buruk berlaku. Segala-galanya saya serahkan kepada ketentuan Allah.

“Saya agak takut kerana ini adalah pembedahan besar pertama yang dilalui. Saya dimaklumkan pembedahan akan mengambil masa selama dua setengah jam.

“Saya akan ditidurkan ketika pembedahan. Dari segi persiapan fizikal, saya mengikut saranan doktor mengamalkan diet dan mengambil banyak vitamin.

“Sebelum ini, saya hanya pernah melakukan pembedahan kecil membuang batu karang,” katanya kepada BH Online selepas majlis bacaan yasin dan doa selamat secara virtual, malam tadi.

Berkongsi mengenai kondisi diri selepas pembedahan, penyanyi Syair Si Pari Pari itu berkata, dia memerlukan rehat sehingga tiga bulan sebelum kembali bekerja.

“Mengikut penerangan doktor, saya boleh pulih dalam tempoh dua hingga enam minggu bergantung kepada daya ketahanan tubuh.

“Sepanjang tempoh ini, saya perlu mendapatkan rawatan susulan dan menjalani latihan fisioterapi.

“Bagaimanapun, saya akan pulih hingga boleh kembali aktif mungkin memakan masa sehingga tiga bulan. Itupun bergantung pada kekuatan antibodi,” ujar vokalis kumpulan Slam ini.

Pada majlis itu, Zamani mengharapkan peminat dapat mendoakan kesejahteraan dan urusan pembedahannya berjalan lancar serta dipermudahkan. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini