comscore
Tumpuan :
Nasional

Zakat Selangor peruntuk RM19 juta, persediaan bantuan mangsa banjir

KUALA SELANGOR: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan sebanyak RM 19 juta bagi bantuan LZS Peduli dengan permohonan mula dibuka sejak 21 November lalu.

Peruntukan itu sebagai persediaan memberi bantuan kepada mangsa banjir di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini, berkata kira-kira 400 permohonan sudah diterima sejak inisiatif itu dibuka kepada orang ramai.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini jumlah pemohon masih rendah di mana berkemungkinan kejadian banjir tidak teruk berbanding tahun lalu.

“Bantuan ini boleh dimohon untuk semua umat Islam tanpa mengira sama ada golongan asnaf atau pun tidak.

“Ini adalah salah satu inisiatif bantuan daripada LZS secara ‘one off’ kepada ketua keluarga yang terjejas akibat banjir,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serahan Sumbangan Dana Tabung Kebajikan Pesakit Hospital (TKPH) dan Geran Pendidikan Pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) LZS di Auditorium 1, Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, di sini.

Hadir sama, Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail dan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Menurutnya, hanya satu permohonan sahaja dibenarkan bagi setiap kediaman.

Beliau berkata, untuk pemilik rumah dan harta benda terjejas teruk boleh melayari laman sesawang LZS di www.zakatselangor.com.my/peduli.

Loading...
Terkini